DISKUSI SOALAN PERIBAHASA...!


sedih......
Seperti biasa 3 soalan peribahasa iaitu soalan nombor 28 - 30 diuji kepada calon-calon untuk kertas BM 1, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Bagi soalan Percubaan SBP 2013, soalan-soalannya agak mudah, cuma bagi soalan 29, jawapan pilihannya agak mengelirukan. Mari kita analisis soalan tersebut.

29. Sejak ibu bapanya meninggal, hidup Kamarul melarat dan disisihkan oleh masyarakat sekelilingnya.
      Pilih peribahasa yang sesuai dengan nasib Kamarul.
  • A  Bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.
  • B  Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
  • C  Seperti embun di hujung rumput.
  • D  Bagai layang-layang putus tali.
ANALISIS JAWAPAN:-
Jawapan pilihan A
- Maksud peribahasa tersebut ialah kehidupan seseorang yang sentiasa susah dan menderita.
Jawapan pilihan B
- Maksud peribahasa tersebut ialah seberat mana kita melihat kesusahan orang, berat lagi kesusahan orang 
  yang menanggungnya.
Jawapan pilihan C
- Maksud peribahasa tersebut ialah masa yang teramat singkat, sebentar cuma.
Jawapan pilihan D
- Maksud peribahasa tersebut ialah keadaan orang yang hanya berserah kepada nasib sahaja, tiada upaya
   lagi.
Bagi keempat-empat jawapan pilihan yang disediakan, jawapan C dan D tiada kaitan langsung dengan situasi yang dihadapi oleh Kamarul.
Bagi jawapan B pula, cikgu berpendapat ada sedikit perkaitan dengan situasi Kamarul, cuma perasaan kasihan itu datangnya daripada kita apabila melihat keadaan Kamarul yang melarat setelah kematian ibu bapanya sedangkan soalan mahukan kita memilih peribahasa yang menggambarkan keadaan Kamarul.
Bagi jawapan A, cikgu rasakan inilah peribahasa yang 'paling' tepat untuk menggambarkan situasi Kamarul, cuma disebabkan ada perkataan 'disisihkan' ( hidup Kamarul melarat dan disisihkan oleh masyarakat ) menyebabkan jawapan pilihan A menjadi tidak begitu 'tepat' pula.
Ringkasnya ada dua keadaan yang dialami oleh Kamarul, iaitu:-
  • melarat sesuai dengan peribahasa bagai kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.
  • disisihkan pula sesuai dengan peribahasa bagai melukut di tepi gantang.
Walau bagaimanapun, bagi jawapan-jawapan pilihan yang tersedia itu, jawapan pilihan A yang paling sesuai dan tepat.

Comments

Popular Posts