FORMAT SOALAN PERIBAHASA SPM...!


FORMAT SOALAN BM2 SPM
  • Aspek peribahasa merupakan salah satu aspek yang diuji dalam bahagian Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa.
  • Berdasarkan format, soalan tentang peribahasa ini ditanyakan melalui soalan 3(e).
  • Markah yang diperuntukkan bagi soalan peribahasa ialah 6.
  • Bentuk soalan yang biasa ditanya ialah:-
  1. membina ayat menggunakan peribahasa yang diberikan;
  2. melengkapkan petikan atau dialog yang diberikan dengan peribahasa yang sesuai;
  3. menentukan atau menyesuaikan peribahasa dengan maksud petikan yang diberikan;
  4. menentukan atau menyesuaikan peribahasa berdasarkan ayat yang diberikan;
  5. menyatakan maksud peribahasa yang diberikan.
1. Membina ayat menggunakan peribahasa
Contoh soalan:-
Tulis ayat berdasarkan setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaannya.
(i) Alah bisa tegal biasa
(ii) Bagai melukut di tepi gantang
(iii) Laut mana yang tidak bergelora
[6 markah]

Contoh jawapan:-
(i)   Sesuatu pekerjaan yang baru diceburi agak sukar diuruskan tetapi lama-kelamaan akan menjadi lebih 
        mudah, seperti pepatah Melayu alah bisa tegal biasa.
(ii)  Karim boleh diibaratkan melukut di tepi gantang dalam majlis itu. Dia tidak dihiraukan langsung oleh tuan
        rumah.
(iii) Walaupun pemimpin itu disayangi rakyat jelata, namun beliau juga tidak terlepas daripada melakukan
        kesilapan ibarat laut mana yang tidak bergelora.

2. Melengkapkan petikan atau dialog dengan peribahasa yang sesuai
Contoh soalan:-
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

.................(i)................., demikian peribahasa yang menggambarkan pelbagai golongan harus bekerjasama. Mereka dituntut agar bersefahaman dan bersatu untuk membangunkan negara. Mereka tidak wajar mementingkan diri, yakni bersikap .............(ii)............. Tambahan pula, perbuatan seperti itu bertentangan dengan norma hidup masyarakat Timur yang mengambil kira kepentingan semua pihak dalam setiap urusan yang dilakukan dan mereka mementingkan permuafakatan kerana mereka yakin bahawa ...............(iii)..........
[6 markah]

Contoh jawapan:-
(i)   Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
(ii)  seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
(iii) bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

3. Menentukan atau menyesuaikan peribahasa dengan maksud petikan
Contoh soalan:-
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan di bawah.

Pada zaman penjajahan, semua penduduk bersatu hati berjuang menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan. Sekalipun mereka menghadapi pelbagai kesusahan tetapi hal itu tidak melunturkan semangat mereka kerana situasi itu sudah dilalui mereka sepanjang masa dan menjadi lumrah hidup. Walaupun ada pejuang yang ditangkap dan dituduh sebagai penderhaka, namun hal itu tidak melemahkan semangat mereka yang berkobar-kobar itu kerana mereka tidak mahu tanah air tercinta ini terus dijajah. Malah mereka lebih rela mati daripada hidup sebagai abdi di tanah air sendiri.
[6 markah]

Contoh jawapan:-
(i)   Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
(ii)  Alah bisa tegal biasa / asam garam.
(iii) Biar putih tulang, jangan putih mata.

4. Menentukan peribahasa berdasarkan ayat yang diberikan
Contoh soalan:-
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti. Kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

(i)   Sebelum melakukan sesuatu perkara, kita hendaklah berfikir dengan semasak-masaknya agar tidak
      menyesal kemudian hari.
(ii)  Janganlah kita boros berbelanja, sebaliknya berbelanjalah mengikut kemampuan atau bersesuaian 
      dengan pendapatan yang kita peroleh.
(iii) Apabila kita berada di tempat orang, janganlah kita meninggi diri dan patuhilah adat resam tempat
      tersebut.
[6 markah]

Contoh jawapan:-
(i)   Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
(ii)  Ukur baju di badan sendiri
(iii) Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

5. Menyatakan maksud peribahasa yang diberikan
Contoh soalan:-
Berikan maksud peribahasa-peribahasa di bawah.

(i) Ada gula ada semut
(ii) Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak
(iii) Alah membeli menang memakai
[6 markah]

Contoh jawapan:-
(i)   Orang akan bertumpu di tempat yang banyak atau mudah mendapatkan rezeki.
(ii)  Orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa.
(iii) Sanggup membeli barangan yang mahal harganya kerana mempunyai kualiti yang lebih baik.


Comments

Popular Posts