EJEN / AGEN / EJENSI / AGENSI...?

Empat bentuk perkataan di atas sering memeningkan kepala pengguna bahasa Melayu yang prihatin akan makna dan cara penggunaannya yang betul. Bagi pengguna bahasa yang tidak begitu prihatin, perkara sebegini dianggap remeh sahaja.
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, penggunaan kata 'ejensi' sebenarnya SALAH dan tidak gramatis jika diguna pakai. Contoh kesalahan penggunaan kata 'ejensi' dalam ayat, ialah:-
  • Semua ejensi kerajaan terlibat dalam program itu.
  • Ejensi swasta diminta memberikan kerjasama yang positif menangani gejala dadah dalam masyarakat.
Sebenarnya kata 'ejensi' yang merujuk maksud badan, pertubuhan atau syarikat sepatutnya dieja sebagai agensi. SEPATUTNYA ayat di atas ditulis begini:-
  • Semua agensi kerajaan terlibat dalam program itu.
  • Agensi swasta diminta memberikan kerjasama yang positif menangani gejala dadah dalam masyarakat.
Bagi kata 'ejen' dan 'agen' pula, kedua-duanya BETUL tetapi membawa makna yang berbeza.
  • Ejen bermakna wakil atau orang yang mewakili sesuatu badan, syarikat atau pertubuhan, contoh ayat:-
  1. Ayah saya bekerja sebagai ejen insurans.
  2. Ejen FBI itu ditangkap kerana terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan.
  • Agen pula membawa makna sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas atau proses, contohnya:-
  1. Serangga dan angin juga menjadi agen pendebungaan yang besar pengaruhnya.
  2. Ombak, angin, hujan dan glasier merupakan agen hakisan yang boleh mencorakkan bentuk muka bumi.

Comments

Popular Posts