SYAIR DEFINISI ORANG BERAKAL...!

Orang berakal sangat mulia,
pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Telek pandangan dengan makrifat,
Sangat mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hati dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.

Demikian lagi dengan olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka menelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.

Abu Hassan Sham (Penyelenggara)
Antologi Harga Remaja,
DBP.

1. Berdasarkan rangkap keenam, apakah reaksi rakyat yang dikasihi oleh raja?
[2 markah]
    Reaksi rakyat apabila semakin disayangi oleh raja ialah rakyat tersebut akan semakin beringat.
    Selain itu, mereka akan berusaha memikat hati rakan-rakannya. Akhir sekali akan bersifat
    sentiasa merendah diri dan mahu kekal berkhidmat.

2. Pada pendapat anda, mengapakah segala tindakan kita perlu menggunakan akal yang waras?
[4 markah]
    Pada pendapat saya, segala tindakan kita perlu menggunakan akal yang waras adalah untuk
    mengelakkan tindakan itu menyusahkan diri, keluarga dan orang lain.
    Selain itu, tindakan kita yang menggunakan akal yang waras boleh dijadikan contoh kepada orang
    lain terutamanya golongan muda.

3. Jelaskan nilai-nilai murni yang terdapat dalam syair di atas.
[3 markah]
    Nilai murni yang pertama daripada syair di atas ialah kepatuhan. Contohnya penyair menyarankan
    kita mengikuti tingkah laku anbia dan aula. Seterusnya nilai rendah diri. Penyair menjelaskan
    perlunya sikap rendah diri kepada rakan walaupun kita disayangi pemimpin. Nilai murni ketiga
    ialah kerajinan. Contohnya rajin membaca untuk memudahkan kita menyelesaikan segala perkara
    yang berlaku. 



Comments

Popular Posts