TERNAK DAN TERTAWA...!

Kesempatan kali ini Cikgu akan mengetengahkan kes pengecualian yang berlaku terhadap perkataan 'ternak' dan 'tertawa' apabila menerima imbuhan awalan men-.
Kebiasaannya semua perkataan yang bermula dengan huruf 't' apabila menerima imbuhan awalan men-, akan berlaku pengguguran kepada huruf 't' tersebut. Sila teliti contoh perkataan yang bermula dengan huruf 't' apabila menerima imbuhan awalan men-:-
  • tembak + men- = menembak bukannya mentembak
  • tolak + men- = menolak bukannya mentolak
  • tampar + men- = menampar bukannya mentampar
  • tiru + men- = meniru bukannya mentiru
  • tanya + men- = menanya bukannya mentanya
Semua huruf 't' di permulaan perkataan tembak, tolak, tampar, tiru, tanya dan lain-lain mengalami pengguguran apabila menerima imbuhan awalan men-.

Pengguguran huruf 't' bagi dua perkataan yang diimbuhkan dengan awalan men- di bawah tidak berlaku kerana aspek pengecualian.
  1. ternak + men- = menternak bukannya menernak
  2. tertawa + men- = mentertawa bukannya menertawa
Tegasnya perkataan ternak dan tertawa mempunyai keistimewaan tersendiri dan kekal diejakan seperti di bawah:
  • menternak dan
  • mentertawa

Comments

Popular Posts